Review Nokia Lumia 620 dengan Windows Phone 8

Assalamualaikum dan selamat pagi, artikel hari ini mengenai telefon pintar Nokia Lumia 620 dan ini mungkin kali pertama korang tengok review gajet dekat blog ni. Hajat nak memiliki telefon pintar ni dah lama bahkan masa makan malam Amanz Network, excited reserve Lumia 800 dari Yusuf sebab dia nak beralih arah ke iOS. Tapi, hujung bulan lepas, tetiba notebook mengalami sedikit masalah dan memerlukan pengganti sementara. Jadi, dengan berat hati terpaksalah batalkan hajat Lumia 800 tu.

Apa pun, setelah tiga minggu, akhirnya minggu lepas, Amanz ada keluarkan artikel mengenai Nokia Lumia 620 yang mula dilancarkan untuk pasaran tempatan sejak Jumaat lepas. Sekali tengok video, hati ini dah terpaut. Maka, lebih kurang pukul 3 petang sabtu lepas, keluarlah ke Plaza Low Yat untuk merealisasikan cita-cita tu dan tepat pukul 5 petang, Lumia 620 telah berada dalam genggamanku. Haha. Padahal sebenarnya aku risau gak sebab orang tengah buat perhimpunan KL112 masa hari tu.

Memandangkan Nokia Lumia 620 baru sahaja memasuki pasaran tempatan pada 11 Januari 2013, ini mungkin antara artikel terawal dalam Bahasa Malaysia yang membuat review mengenai Lumia 620. Malahan, masa pergi beli Sabtu lepas, promotion dan marketing dari pihak Nokia masih bersepah-sepah dekat Low Yat tu, siap ada peraduan dan kalau beli Lumia 920, boleh dapat T-Shirt dan macam-macam hadiah lagi.

(Gambar diatas menggunakan Lumia 620) – Nokia Lumia 620 merupakan telefon pintar dengan Windows Phone 8, iaitu sistem operasi terkini untuk telefon pintar dari Microsoft. Sekadar berkongsi, aku sebenarnya dari zaman sekolah dulu memang gila nak guna Windows Mobile 6.0 tu, tapi apakan daya, time tu takde side-income, jadi hanya mampu tengok sahajalah.

Kalau dibandingkan dengan sistem operasi Android atau iOS, Windows Mobile atau terkini digelar sebagai Windows Phone sebenarnya boleh dikatakan masih muda di pasaran tempatan. Jadi, kalau korang nak tahu lebih lanjut mengenai Nokia Lumia 620 dan adakah berbaloi korang melaburkan sehingga lebih RM 750 untuk telefon pintar ini, teruskan membaca artikel.

Pandangan Pertama

Manusia dan pandangan pertama tak boleh dipisahkan bukan? Jadi, aku sarankan korang tonton video promosi dibawah ini dulu untuk mendapatkan gambaran penuh tentang Nokia Lumia 620.

Bagaimana? Kalau korang tanya aku, macam yang aku katakan tadi, sejak first Amanz.my keluarkan artikel tu, aku pun dah macam  ‘angau’ dengan Lumia 620, kalau online jer mesti baca dan buka artikel tu berkali-kali. Sendiri faham lah. Should I explain more? Tak perlu.

Sistem Operasi

Sebagai seorang pengguna tegar dan pembangun berorientasikan teknologi Microsoft, aku rasa dengan teknologi dan pelbagai kemudahan sedia ada yang diberikan Microsoft melalui Windows Phone 8 seperti storan awan, integrasi akaun, Skype, XBOX Music, Video, Games dan sebagainya telah memadai.

Rekabentuk dan Warna

Nokia Lumia 620 didatangkan dalam beberapa variasi warna seperti oren, putih, biru, dan juga hitam. Sebenarnya aku nak ambil biru tapi lepas fikir yang macam boleh cepat jer nampak kotor, aku pilih hitam jer la.

Telefon pintar ini juga didatangkan dengan saiz skrin 3.8” dan tinggi dan lebar masing-masing ialah 800 x 480. Menariknya, Lumia 620 didatangkan bersama-sama teknologi LCD Clearblack dan mempunyai teknologi peka cahaya. Rekabentuk Lumia 620 juga bagi  pandangan aku agak menarik jika dibandingkan dengan versi sebelumnya seperti 710.

Pada bahagian hadapan, Nokia Lumia 620 membawakan tiga kekunci sentuh iaitu ‘Back’, ‘Start’ dan ‘Search’, kamera VGA hadapan, manakala di bahagian tepi pula membawakan pengawal kekuatan bunyi, butang ‘lock’ dan ‘gambar’.

Manakala pada bahagian belakang, Nokia Lumia menawarkan kamera dengan 5.0 Megapiskel yang boleh merekodkan dalam format 720p dan menyokong Geo-Tagging. Untuk contoh kualiiti imej atas diambil di sekitar Mid-Valley, KL lebih kurang pukul 3 petang dan kalau klik untuk lihat imej saiz sebenar yang dirakam oleh kamera Lumia 620.

Selain itu, tidak ketinggalan adalah loud-speaker dan shell menggunakan material lembut dan boleh ditukar dalam beberapa variasi warna. Pada bahagian atas, terdapat ruangan jek 3.5 mm yang dikuasakan oleh Dolby Audio dan pada bahagian bawah, terdapat mini USB yang digunakan untuk pengecasan telefon dan juga pemindahan data di komputer.

Memori 8 GB dan sehingga 64 GB

Nokia Lumia 620 mempunyai memori terbina kapasiti sebanyak 8 GB dan menyokong kad memori mikro SDHC sehingga 64GB. Jadi, kalau korang suka dengar lagu or main game, mungkin perlu membeli kad memori SDHC sehingga 64GB.

Cip Pemproses

Nokia Lumia 620 didatangkan dengan pemproses Quallcomm Snapdragon S4 yang dapat mengoptimumkan penggunaan tenaga se-efisyen mungkin. Berdasarkan pengalaman aku sendiri, dengan penggunaan dan sambungan WiFi yang berterusan, Lumia 620 dapat bertahan sehingga lebih kurang 18 jam.

Sambungan Internet

Nokia Lumia 620 disokong oleh Windows Phone 8, maka ianya dilengkapkan dengan satu teknologi pintar yang mana boleh membezakan pelan data Maxis menggunakan micro-sim yang dan sambungan WiFi 802.11 b/g/n. Jadi, untuk proses pelayaran Internet secara on-the-go, Whatsapp dan sebagainya, ianya akan menggunakan pelan data sekiranya tiada WiFi, dan untuk penyimpanan data secara automatik di Skydrive, ianya hanya akan berfungsi apabila terdapatnya WiFi, mungkin tak perlu risau mengenai bil.

Ini bererti, dalam kebanyakan urusan, WiFi akan dipilih terlebih dahulu, baru kepada rangkaian pelan data. Oh ya, sedikit sedih bila Nokia Lumia 620 tidak menyokong rangkaian LTE.

Baiklah, itu antara beberapa faktor luaran yang aku rasa nak tulis dan amat berpuas hati setakat ini. Banyak lagi sebenarnya ciri-ciri Lumia 620 ni korang boleh jumpa. Kalau korang nak tanya, boleh jer komen atau hubungi untuk sebarang urusan. Sekarang, kita akn tengok pula beberapa aplikasi yang aku rasa terbaik yang ditawarkan oleh Windows Phone 8 dan Nokia Lumia 620 ini.

Privasi dan Sudut Kanak-Kanak

Haha, itu adalah terjemahan kepada fungsi Kid Corner dalam Windows Phone 8. Pernah tak korang ada kawan or adik beradik yang nak pinjam telefon sebab nak main game, tapi korang takut data atau tetapan kepada komputer riba tersebut ditukar?

Sekarang, dengan Kid Corner, masalah tersebut telah diselesaikan. Pertama, hanya perlu lindungi telefon pintar tersebut dengan PIN dan pilih aplikasi untuk Kid Corner. Dalam kes aku, memandangkan adik aku pinjam untuk main game sahaja, so aku menetapkan kesemua permainan dalam Lumia 620. Jadi, bila adik aku nak pinjam, dia hanya perlu swipe Lock Screen ke kiri, dan boleh bermain game.

Sekiranya terdapat cubaan untuk mengakses ruangan selain dari Kid Corner, Windows Phone akan memohon untuk mengisikan PIN dan sekiranya PIN tersalah 3 kali berturut-turut, telefon pintar akan dikunci dari sebarang interaksi dalam tempoh masa 1 minit. Menarik bukan?

Microsoft Office

Salah satu aplikasi menarik dalam Nokia Lumia 620 ialah aplikasi Microsoft Office. Aplikasi ini direkabentuk khusus untuk Windows Phone 8 bagi membolehkan pengguna membuat, mencapai, dan membuat perubahan kepada sebarang dokumen Word, slaid Powerpoint dan juga lembaran Excel.

Jika korang menggunakan Office 2013 di komputer, tentu perasan yang perisian tersebut menetapkan lokasi penyimpanan secara automatik di SkyDrive kan? Jadi, inilah kelebihannya, dokumen tersedia dimana jua asalkan ada rangkaian Internet.

Nokia Drive

Anda seorang pemandu seperti saya? Eh, sejak bila aku jadi pemandu. Haha, Takpe, dalam Nokia Lumia 620 ni, terdapat suatu aplikasi yang dipanggil sebagai Nokia Drive atau senang cerita, GPS (Global Positioning System – bukan Guna Pun Sesat) yang tersedia secara percuma untuk kesemua keluarga Nokia Lumia.  Melalui Nokia Drive, ianya mungkin membantu bagi mereka yang melakukan perjalan jauh.

Nokia CityLens

Pernah dengar augmented reality atau dalam Bahasa Malaysia dipanggil sebagai realiti terbenam? Okey, kepada yang tak tahu, augmented reality adalh salah satu teknologi yang semakin meningkat naik di zaman moden ni. Sebagai contoh, T-Shirt Upin dan Ipin, bila korang halakan aplikasi AR kepada T-Shirt tersebut, akan muncul gambar dua orang kembar tu berlari-lari di skrin telefon. Kalau nak tengok, boleh refer sini.

Aplikasi CityLens yang hanya ditawarkan dalam Nokia Lumia 620 dan keatas membawakan konsep yang serupa. Sebagai contoh, jika korang berada di tengah-tengah jalan raya dan tercari-cari tempat melepaskan hajat, (apa punya contoh ni) dan nak tahu tandas awam terdekat, korang hanya perlu keluarkan Nokia Lumia 620 korang dan imbas sekeliling kawasan tersebut.

Sebagai contoh, gambar diatas adalah imbasan yang dilakukan di sekitar sebuah restoran di Bandar Tasik Selatan.

Kesimpulan

Memandangkan Nokia Lumia 620 amat baru memasuki pasaran tempatan, mungkin terdapat sedikit kesukaran untuk mendapatkan beberapa aksesori tambahan untuknya. Apa-pun, berikut adalah ringkasan sepanjang penggunaan Lumia 620 bagi aku:

Pro

  1. Sistem operasi yang mesra pengguna dan pemproses termaju.
  2. Rekabentuk yang menarik dan kemas.
  3. Sokongan GPS dan NFC terbina dalam.
  4. Fungsi multi-lensa yang menyokong beberapa aplikasi pintar seperti kamera pintar dan CityLens.
  5. Memori yang besar dan boleh ditambah menggunakan kad micro-SDHC sehingga 64GB
  6. Harga dibawah RM 1000

Kontra

  1. Kekurangan aplikasi buat masa kini dan tidak sesuai dibeli sekiranya anda merupakan penggemar apps (Android masih lagi pilihan terbaik rasanya)
  2. Kualiti imej agak kurang memuaskan sekiranya kurang cahaya.
  3. Bateri perlu dicaj dengan kerap.
  4. Kualiti bunyi agak berkurangan sekiranya kekuatan bunyi dimainkan dengan kuat.
  5. Tiada sokongan LTE 4G
  6. Skrin yang agak kecil – sesetengah penggunaan mungkin kurang sesuai.

Untuk pembelian menggunakan rebat RM 200 Pakej Komunikasi Belia, haha, yang ni aku tak nak komen sebab aku beli Lumia 620 tanpa menggunakan rebat. Ini kerana telefon ini masih belum ditawarkan melalui telco dan pengedar sah ketika artikel ini ditulis. Jadi, bak kata Pradeesh, (rakan aku di Twitter) kalau beli guna rebat nanti kena balas budi. Haha. Pun boleh. Opps, ini bukan blog politik.

Sekadar berkongsi, ini merupakan telefon pintar yang kedua telah aku miliki selepas Nokia Xpress Music yang menggunakan sistem operasi S60. Dari aspek harga, bagi aku agak berbaloi melaburkan sehingga RM 800 untuk sebuah telefon pintar ini,

Tapi, jika korang inginkan telefon pintar yang mempunyai banyak aplikasi dan disokong secara meluas di Malaysia, Nokia Lumia 620 mungkin kurang sesuai. Jadi, jika anda tercari-cari telefon pintar dengan Windows Phone 8, Nokia Lumia 620 mungkin antara pilihan yang sesuai. Sekian review untuk Nokia Lumia 620, sebuah telefon pintar yang dikuasakan oleh Windows Phone 8.

7 thoughts on “Review Nokia Lumia 620 dengan Windows Phone 8

  1. Saya nak tanya pasal Nokia Lumia 620. Speaker sound kuat tak sebab saya tengok picture
    sound hole ada satu sahaja dan kecil jer.

  2. Terima kasih atas entri yang amat panjang dan berinformasi tentang Nokia Lumia 620. Sekurang-kurangnya dapat memberikan sedikit informasi tentang apakah itu sebenarnya telefon pintar Windows Phone 8 kepada para pembaca.

    Tahniah juga atas telefon pintar terbaru anda. Semoga berseronok :D

  3. salam, brader omar sy baru beli lumia 620 ni last week, masalah betul la nk configure internet settings dia, sampai la ni sy x dapat lagi nak guna wi-fi la brader, kalau brader omar boleh tolong bagi step camana nk settings sy sgt berbesar hati rasanya, sy dh try guna manually setting guide dr maxis, tp hampeh je, x boleh2 gak tlg ye, tq.

Comments are closed.